fb fb fb fb fb

Fatah desak Hamas berundur demi masa depan Gaza

Penduduk Palestin memeriksa runtuhan selepas serangan Israel ke atas pelabuhan perikanan di Deir el-Balah di tengah Gaza / Foto AFP

GAZA, 22 Mac-Pergerakan Fatah yang dipimpin oleh Presiden Palestin, Mahmud Abbas, pada Sabtu menyeru pesaingnya, Hamas, supaya melepaskan kuasa demi kelangsungan rakyat Palestin di Gaza.

"Hamas perlu menunjukkan belas kasihan kepada Gaza, anak-anak, wanita dan lelakinya," kata jurucakap Fatah, Monther al-Hayek, dalam mesej yang dihantar kepada AFP dari Gaza.

Beliau menggesa Hamas untuk berundur daripada pemerintahan dan mengakui sepenuhnya bahawa pertempuran yang berterusan akan membawa kepada pengakhiran kewujudan rakyat Palestin jika ia terus berkuasa di Gaza.

Hamas merampas kuasa di Gaza pada tahun 2007 daripada Pihak Berkuasa Palestin yang dikuasai oleh Fatah, dan percubaan untuk mencapai perdamaian sejak itu telah gagal.

Wilayah Gaza kini musnah akibat serangan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas dan kumpulan militan Palestin lain ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Selepas perselisihan mengenai langkah seterusnya dalam gencatan senjata pada 19 Januari dalam perang Gaza, Israel menyambung semula serangan udara pada Selasa, diikuti dengan operasi darat sehari selepasnya.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Jumaat mengancam untuk merampas sebahagian Gaza melainkan Hamas membebaskan baki tebusan Israel yang diculik dalam serangan 7 Oktober.

Daripada 251 tebusan yang diculik pada hari tersebut, 58 masih ditahan, termasuk 34 yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas, hampir 50,000 orang di Gaza telah terbunuh dalam perang tersebut.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD