BRUSSELS, 19 Disember -Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan untuk mengusahakan penggunaan aset Rusia yang dibekukan sebagai asas pembiayaan pinjaman kepada Ukraine bagi tempoh 2026 dan 2027.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, selepas mesyuarat pemimpin EU di sini.
Pada mesyuarat tersebut, kesepakatan dicapai tanpa melibatkan pinjaman bersama EU.
Tusk berkata, terdapat kemajuan penting apabila semua negara anggota bersetuju bahawa penggunaan aset Rusia wajar dicuba dan boleh memberi manfaat kepada Ukraine serta Eropah.
“Semua bersetuju bahawa penggunaan aset Rusia untuk Ukraine adalah wajar dan baik untuk Eropah.
Bagaimanapun, terdapat negara yang mahu memaksimumkan jaminan untuk diri mereka,” katanya.
Daripada kira-kira €210 bilion aset Rusia yang dibekukan di EU susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022, sekitar €185 bilion disimpan di institusi depositori sekuriti pusat Euroclear di Belgium.
Belgium dilaporkan bimbang akan berdepan tindakan balas undang-undang atau kewangan daripada Rusia sekiranya aset berkenaan digunakan bagi pelan pembiayaan tersebut.
Menurut Tusk, perbincangan seterusnya dijangka memberi tumpuan kepada aspek teknikal.
Ia meliputi penyediaan jaminan perlindungan kepada negara yang paling berisiko terhadap tindakan balas kewangan Rusia.
Beliau berkata, penggunaan ruang fiskal dalam bajet EU tidak mendapat sokongan meluas.
Justeru, tumpuan kini beralih kepada pinjaman berasaskan aset Rusia serta jaminan khusus kepada negara terlibat, termasuk Belgium. -REUTERS