BRUSSELS, 19 Disember - Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menyediakan pinjaman sebanyak 90 bilion euro kepada Ukraine.
Ia bertujuan menampung kekurangan dana yang semakin mendesak.
Namun EU masih gagal mencapai persetujuan untuk menggunakan aset Rusia yang dibekukan sebagai sumber pembiayaan.
Perjanjian yang dicapai selepas rundingan di Brussels itu memberi sokongan penting kepada Kyiv ketika perang Rusia-Ukraine hampir memasuki tahun keempat.
Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa berkata keputusan tersebut akan membantu Ukraine mempertahankan diri dan menyokong rakyatnya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan pinjaman itu sebagai sokongan besar yang mengukuhkan daya tahan negara, sambil menegaskan aset Rusia mesti terus dibekukan dan Ukraine perlu jaminan kewangan untuk tahun-tahun mendatang.
EU sebelum ini mempertimbangkan penggunaan kira-kira 200 bilion euro aset bank pusat Rusia yang dibekukan di Eropah.
Namun cadangan itu digugurkan selepas Belgium yang memegang sebahagian besar aset berkenaan, menuntut jaminan liabiliti yang tidak dipersetujui negara anggota lain.
Sebaliknya, pemimpin EU bersetuju menyalurkan pinjaman untuk tempoh dua tahun yang disokong oleh bajet bersama EU.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata Ukraine hanya perlu membayar balik pinjaman itu selepas Rusia menanggung kos kerosakan akibat perang.
EU menganggarkan Ukraine memerlukan tambahan 135 bilion euro dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan tekanan kewangan dijangka bermula April ini. - AFP