fb fb fb fb fb

EU kutuk hukuman penjara dikenakan terhadap Suu Kyi

(Aung San Suu Kyi/ REUTERS)

BRUSSELS, 5 September- Kesatuan Eropah (EU) mengutuk hukuman penjara terhadap bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi selepas dia didapati bersalah melakukan penipuan pilihan raya.

Pada Jumaat lalu, sumber yang biasa dengan prosiding itu memberitahu Reuters, Suu Kyi didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Peguamnya memberikan maklumat sama kepada BBC.

"EU mengutuk hukuman tambahan tiga tahun yang tidak wajar ke atas Suu Kyi. Dia kini berdepan hukuman penjara 20 tahun bagi 11 pertuduhan dengan beberapa pertuduhan lain.

"EU menyeru supaya rejim Myanmar membebaskan Suu Kyi dan semua tahanan politik," kata Diplomat Tertinggi EU, Josep Borrell menerusi ciapannya di Twitter.

Pemenang Nobel dan ketua penentang pemerintahan tentera Myanmar selama beberapa dekad itu ditahan sejak rampasan kuasa awal tahun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara lebih 17 tahun. Dia menafikan semua tuduhan terhadapnya.

Mahkamah di Myanmar pada 2 September lalu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Suu Kyi, atas kesalahan penipuan undi pada pilihan raya 2020 yang menyaksikan partinya mencatat kemenangan besar.

Bulan lalu, ketua junta, Min Aung Hlaing, dilaporkan berkata pihak tentera sudah bersikap 'lembut' terhadap Suu Kyi, sedangkan boleh mengambil 'tindakan lebih serius' ke atasnya. - REUTERS


(Seorang penunjuk perasaan memegang poster yang memaparkan Aung San Suu Kyi
dalam protes 2021 di Yangon, Myanmar/ AFP)

Media Baharu