fb fb fb fb fb

Banjir Sudan : Angka korban mencecah 112 orang

(Orang ramai menyeberangi air semasa banjir di kawasan Al-Managil di negeri Gezira, Sudan  / REUTERS)

KHARTOUM, 5 September- Lebih 100 orang terbunuh dan puluhan ribu rumah musnah akibat banjir berikutan hujan lebat sejak musim hujan Sudan bermula pada Mei.

Hujan lebat biasanya turun di Sudan antara Mei dan Oktober, dan negara itu menghadapi banjir teruk setiap tahun, memusnahkan harta benda, infrastruktur dan tanaman.

Bulan lalu, Sudan mengisytiharkan darurat akibat banjir di enam negeri.

“Jumlah orang yang terbunuh akibat banjir dan hujan lebat telah mencecah 112 orang,” kata Abdel Jalil Abdelreheem, jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam Sudan.

Minggu lalu, pihak berkuasa memberikan angka 79 maut akibat banjir setakat musim hujan ini.

"Sebanyak 34,944 rumah musnah sepenuhnya manakala 49,060 sebahagiannya rosak," kata Abdelreheem kepada AFP, sambil menambah bahawa kira-kira 115 orang telah cedera.

Bencana itu berlaku ketika Sudan bergelut akibat pergolakan politik yang semakin meruncing dan krisis ekonomi yang semakin tenat yang diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera tahun lalu, dikepalai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata minggu lalu bahawa banjir setakat ini telah menjejaskan 226,000 orang di seluruh Sudan.

Negeri timur Gedaref dan Kassala, negeri Kordofan Utara dan Selatan, negeri Sungai Nil, dan wilayah Darfur adalah antara yang paling teruk terjejas, menurut agensi kanak-kanak PBB, UNICEF.

PBB juga memberi amaran bahawa banjir tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang, jauh lebih tinggi daripada purata 388,600 orang terjejas setiap tahun antara 2017 dan 2021. -AFP


(Orang ramai menaiki kereta keldai untuk menyeberangi air semasa banjir di
kawasan Al-Managil di negeri Jazeera, Sudan / REUTERS)

Media Baharu