fb fb fb fb fb

EU hantar utusan berbincang dengan pemimpin baharu Syria

Kaja Kallas / Foto AFP

BRUSSELS, 16 Disember - Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, mengesahkan bahawa utusan blok itu akan berkunjung ke Syria pada Isnin untuk berbincang dengan pemimpin baharu yang kini diketuai oleh kumpulan Islamis, susulan usaha Barat mempererat hubungan selepas kejatuhan Bashar al-Assad.

Pendekatan itu hadir selepas Amerika Syarikat dan Britain mengumumkan bahawa mereka telah mengadakan hubungan dengan pihak berkuasa baharu di Damsyik, yang kini diterajui kumpulan penentang kerajaan, Hayat Tahrir al-Sham (HTS).

Kuasa serantau dan antarabangsa kini berlumba-lumba mendapatkan pengaruh di Syria selepas Assad digulingkan dalam satu serangan kilat yang mengakhiri pemerintahan lima dekad keluarganya.

"Utusan kanan kami di Syria akan ke Damsyik hari ini. Kami akan menjalinkan hubungan di sana," kata Kallas kepada media sebelum mesyuarat menteri luar EU.

Walaupun langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengisi kekosongan kepimpinan, negara anggota EU masih berhati-hati terhadap kepimpinan baharu Syria.

HTS sebelum ini mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dan disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh beberapa kerajaan.

EU sebelum ini memutuskan hubungan dengan rejim Assad semasa perang saudara, namun kekal sebagai penyumbang utama bantuan kemanusiaan kepada penduduk tempatan.

Kallas menjelaskan bahawa menteri luar EU di Brussels akan membincangkan strategi dan tahap penglibatan dengan kepimpinan baharu di Syria.

"Kami tidak boleh membiarkan kekosongan," katanya, sambil menegaskan keperluan untuk melihat tindakan konkrit daripada pihak berkuasa baharu sebelum hubungan diperluaskan.

Pihak berkuasa baharu di Damsyik telah berjanji untuk melindungi golongan minoriti dan membentuk kerajaan inklusif, menimbulkan harapan berhati-hati dalam kalangan komuniti antarabangsa.

Namun, pandangan dalam EU berbeza. Sesetengah negara anggota mendesak agar hubungan dengan Syria segera diperkukuh, manakala yang lain memilih untuk lebih berhati-hati.

"Bagi kami, bukan hanya kata-kata, tetapi juga tindakan. Kami akan memantau sama ada langkah mereka bergerak ke arah yang betul," kata Kallas.

Beliau menambah bahawa keputusan untuk memperluas hubungan akan dibuat berdasarkan perkembangan dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN