fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Bangladesh mungkin diadakan akhir 2025

Muhammad Yunus / Foto Reuters

DHAKA, 16 Disember – Pilihan Raya Umum Bangladesh dijangka akan diadakan menjelang akhir 2025, kata ketua kerajaan interim negara itu, Muhammad Yunus dalam satu pengumuman pada Isnin, dengan syarat pembaharuan pilihan raya dilaksanakan terlebih dahulu.

Bangladesh kini diperintah oleh kerajaan interim yang diketuai Muhammad Yunus, penerima Hadiah Nobel, sejak Ogos lalu.

Beliau mengambil alih pentadbiran selepas bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India susulan protes besar-besaran.

“Jika terdapat konsensus politik dan senarai pengundi disediakan dengan tepat bersama pembaharuan kecil, adalah mungkin untuk mengadakan pilihan raya menjelang akhir 2025,” kata Yunus dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Ketua Angkatan Tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman, yang memainkan peranan penting dalam kejatuhan Hasina selepas enggan menyokongnya semasa protes pelajar yang membawa kepada kematian ramai orang, sebelum ini memberitahu Reuters bahawa demokrasi harus dipulihkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Dalam ucapannya yang disampaikan sempena ulang tahun ke-53 kemerdekaan Bangladesh daripada Pakistan, Yunus menegaskan bahawa pilihan raya hanya boleh diadakan selepas pembaharuan pilihan raya selesai.

“Jika pembaharuan tambahan diperlukan, dan dengan mengambil kira konsensus nasional, ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan lagi,” tambah pemimpin berusia 84 tahun itu.

Parti-parti pembangkang, termasuk Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), salah satu daripada dua parti politik utama di negara itu selain Liga Awami, terus mendesak agar pilihan raya diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan kestabilan politik.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN