ADDIS ABABA, 17 Disember- Ethiopia buat pertama kalinya akan membuka sebahagian sektor perbankannya kepada bank asing selepas parlimen meluluskan undang-undang baharu pada Selasa, lapor kumpulan media tempatan FanaBC.
Sejak mengambil alih kuasa pada 2018, Perdana Menteri Abiy Ahmed telah menjadi penyokong kuat untuk membuka ekonomi Ethiopia yang sebelum ini dikawal ketat oleh kerajaan kepada persaingan dan pelaburan asing.
Namun, konflik dalaman, termasuk perang saudara yang dahsyat di wilayah Tigray antara 2020 dan 2022, telah membawa kepada sekatan oleh Amerika Syarikat dan menghalang pelaksanaan reformasi ekonomi.
Undang-undang perbankan baharu itu yang diluluskan dengan majoriti di parlimen, membenarkan bank asing membuka cawangannya di Ethiopia, tambah FanaBC yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan.
Menurut laporan Addis Standard, firma asing hanya dibenarkan memiliki sehingga 49 peratus saham dalam bank Ethiopia.
“Ia adalah langkah besar ke hadapan kerana pembukaan sektor perbankan bukan sahaja bermakna lebih banyak bank asing akan beroperasi di negara ini, tetapi juga kritikal dalam menarik pelaburan asing dalam sektor lain,” kata Samson Berhane, seorang penganalisis bebas, kepada AFP.
Samson turut berkata bahawa langkah berkenaan seiring dengan reformasi lain dalam sektor mata wang dan runcit yang diharap akan menghantar mesej bahawa Ethiopia kini “bersedia untuk perniagaan.”
Pada bulan Julai lalu, Ethiopia mengambil keputusan sukar untuk membiarkan mata wangnya, Birr, terapung bebas berbanding dolar.
Langkah itu menyebabkan nilai Birr menjunam, tetapi sistem tambatan dolar sebelum ini dianggap tidak lagi mampan kerana rizab mata wang asing Ethiopia hampir mencecah kosong.
Program bantuan bernilai AS$3.4 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan rancangan pembiayaan AS$1.5 bilion daripada Bank Dunia sebelum ini ditangguhkan sehingga Ethiopia meliberalisasikan mata wangnya.
Ethiopia, negara kedua paling ramai penduduk di Afrika dengan sekitar 120 juta orang, pernah mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tinggi iaitu melebihi 10 peratus setahun, antara tahun 2004 hingga 2019.
Namun, ekonomi negara itu terjejas akibat konflik dalaman, pandemik Covid-19, dan perang di Ukraine. Kadar pertumbuhan ekonomi merosot kepada purata 5.9 peratus antara 2020 hingga 2023, manakala inflasi melonjak daripada 20.4 peratus kepada 30.2 peratus, menurut laporan Bank Dunia.-AFP