BERLIN, 17 Disember - Jerman merancang untuk mengadakan perbincangan dengan wakil Hayat Tahrir al-Sham (HTS) di Damsyik pada Selasa, kata kementerian luar negara itu.
Ia sekali gus memberi petanda bahawa negara berkenaan bakal menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Britain dalam menjalin hubungan dengan kumpulan tersebut selepas mengetuai penggulingan Bashar al-Assad di Syria.
Dalam pertemuan pertama diplomatik Jerman dengan wakil kerajaan sementara yang dilantik HTS, perbincangan akan menumpukan kepada proses peralihan politik di Syria dan perlindungan hak golongan minoriti, menurut jurucakap kementerian luar Jerman.
"Kemungkinan untuk kehadiran diplomatik di Damsyik turut sedang dirintis," tambah jurucakap itu dalam kenyataan, sambil menegaskan bahawa Berlin memantau HTS dengan teliti berikutan ideologi kumpulan tersebut yang dikaitkan dengan al-Qaeda.
"Setakat ini, mereka bertindak secara berhati-hati," kata jurucakap tersebut mengenai kumpulan itu yang memimpin penggulingan Assad awal bulan ini,
Ia sekali gus menamatkan perang yang berlarutan selama 13 tahun.
Konflik itu sebelum ini mengakibatkann penghijrahan kira-kira satu juta pelarian Syria ke Jerman.-REUTERS