SEOUL, 17 Disember- Pasukan Penyiasat Korea Selatan yang menyiasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol, gagal memasuki pejabat presiden pada Selasa selepas pasukan keselamatan enggan membenarkan mereka masuk, lapor agensi berita Yonhap.
Yoon telah dipecat oleh parlimen pada Sabtu berikutan pengisytiharan undang-undang tentera tersebut dan digantung daripada menjalankan tugas presiden.
Menurut Yonhap, pasukan penyiasat yang mencari bukti berkaitan kesahihan keputusan Yoon itu terpaksa menunggu kira-kira tujuh jam tetapi tetap tidak dibenarkan masuk.
Pasukan siasatan bersama yang terdiri daripada polis dan Pejabat Penyiasatan Rasuah untuk Pegawai Kanan (CIO) cuba mengakses komputer pejabat presiden bagi mendapatkan rekod telefon, termasuk telefon yang digunakan oleh pesuruhjaya polis.
Ini merupakan kali kedua pihak berkuasa gagal menyerbu pejabat presiden selepas percubaan pertama pada 11 Disember turut berakhir dengan kegagalan, walaupun pejabat presiden kemudiannya menyerahkan sebahagian data secara sukarela.
Perkhidmatan keselamatan pejabat presiden berkata mereka akan menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan serbuan itu pada Rabu.
Sementara itu, Polis dan pejabat presiden enggan memberikan komen serta-merta, manakala CIO turut menolak untuk memberi komen.
Sejak Yoon dipecat melalui undian parlimen Sabtu lalu, beliau mengambil langkah berdiam diri.
Mahkamah Perlembagaan dan pihak berkuasa masih belum berjaya menghubungi atau memanggilnya untuk disoal siasat, menurut pegawai mahkamah.
Yoon kini sedang menyusun pasukan peguam untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan pemberontakan.
Manakala perbicaraan Mahkamah Perlembagaan akan menentukan sama ada beliau akan dipecat secara rasmi atau dipulihkan kuasanya.
Seok Dong-hyun, seorang peguam dan bekas pendakwa raya yang membantu Yoon, berkata pada Selasa bahawa pengisytiharan undang-undang tentera itu tidak boleh dianggap sebagai pemberontakan.
Bagaimanapun, Seok enggan mengulas sama ada Yoon akan mematuhi panggilan untuk hadir soal siasat pada 21 Disember dan menggesa pihak berkuasa supaya menyelaras pelbagai siasatan yang dijalankan serentak oleh beberapa agensi seperti polis, pendakwa raya, dan CIO.
Sementara itu, pemangku presiden Korea Selatan, Han Duck-soo, pada Selasa menggesa pelaksanaan belanjawan 2025 dimulakan dengan pantas bagi membantu memulihkan ekonomi negara yang semakin perlahan.
Dalam mesyuarat kabinet, Han menegaskan langkah tersebut penting untuk menstabilkan pasaran kewangan dan meyakinkan sekutu Korea Selatan selepas penggantungan Yoon.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menyatakan bahawa 75% daripada belanjawan 2025 akan dilaksanakan pada separuh pertama tahun depan.
Korea Selatan kini berdepan cabaran ekonomi termasuk ketidaktentuan global akibat janji Presiden A.S yang bakal dilantik, Donald Trump, untuk menaikkan tarif, manakala pertumbuhan eksport negara itu menyusut selama empat bulan berturut-turut pada November ke paras paling lemah dalam tempoh 14 bulan.-REUTERS.