MOSCOW, 17 Disember – Parlimen Rusia pada Selasa meluluskan rang undang-undang yang akan membuka jalan untuk Moscow menarik balik kedudukan Taliban sebagai kumpulan pengganas yang disenarai hitam oleh Rusia sebelum ini.
Rusia telah membina hubungan dengan Taliban sejak kumpulan itu mengambil alih kuasa di Afghanistan selepas pengunduran Amerika Syarikat pada tahun 2021.
Sejak itu, pegawai Rusia telah berusaha untuk mengeluarkan Taliban daripada senarai rasmi kumpulan pengganas yang diharamkan di negara tersebut.
Dewan Rendah Rusia, Duma, meluluskan rang undang-undang yang menetapkan mekanisme undang-undang untuk membuang sesebuah kumpulan daripada senarai itu yang merupakan satu langkah penting pada masa akan datang.
Rang undang-undang itu kini akan dibawa ke Dewan Persekutuan dan kemudiannya kepada Presiden Vladimir Putin untuk ditandatangani menjadi undang-undang.
Dalam lawatan ke Kabul bulan lalu, pegawai keselamatan tertinggi Rusia memberitahu rakan sejawat mereka di Afghanistan bahawa Moscow akan mengeluarkan Taliban daripada senarai kumpulan yang diharamkan tidak lama lagi.
Mengikut mekanisme yang dicadangkan, Peguam Negara Rusia akan memfailkan permintaan di mahkamah Rusia untuk menyatakan bahawa sesebuah kumpulan telah "berhenti" menyokong aktiviti keganasan.
Hakim kemudian boleh membuat keputusan untuk membatalkan status tersebut.
Walaupun begitu, langkah ini tidak akan membawa kepada pengiktirafan rasmi terhadap kerajaan Taliban dan apa yang mereka sebut sebagai "Emirat Islam Afghanistan", satu langkah yang masih belum diambil oleh mana-mana negara sehingga kini.
Awal tahun ini, Presiden Putin menyifatkan Taliban sebagai sekutu dalam memerangi keganasan, manakala Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, telah menggesa Barat supaya menarik balik sekatan ke atas Afghanistan dan bertanggungjawab dalam usaha membangunkan semula negara itu.-AFP.