fb fb fb fb fb

Pemimpin pembangkang Venezuela terima Anugerah Hak Asasi EU

Foto REUTERS

STRASBOURG,17 Disember-Pemimpin pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez Urrutia, pada Selasa menyeru dunia untuk terus memberikan sokongan ketika beliau menerima anugerah hak asasi manusia tertinggi Kesatuan Eropah, Hadiah Sakharov.

Bekas calon presiden itu terpaksa melarikan diri ke Sepanyol selepas berdepan tekanan berikutan kemenangan pemimpin veteran Venezuela, Nicolas Maduro, dalam pilihan raya yang dipertikaikan Julai lalu.

Pihak pembangkang, yang disokong oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menuduh Maduro mencuri kemenangan pilihan raya dan percaya Gonzalez Urrutia adalah pemenang sebenar.

Dalam ucapannya di Parlimen Eropah di sini, Gonzalez Urrutia berkata anugerah tersebut, yang turut diterima bersama ketua pembangkang Maria Corina Machado, melambangkan perpaduan antara demokrasi dunia yang kini saling memerlukan lebih daripada sebelumnya".

"Venezuela mengharapkan anda, kerana perjuangan untuk kebebasan dan demokrasi di negara kami adalah perjuangan untuk nilai-nilai ini di seluruh dunia," katanya sambil disambut tepukan gemuruh oleh ahli-ahli parlimen.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan seruan penuh semangat, "Hidup Venezuela yang bebas!"

Sementara itu, Maria Corina Machado yang kini bersembunyi di Venezuela menyatakan perasaan terharunya ketika menerima anugerah itu bagi pihak rakyat Venezuela melalui rakaman video.

"Selepas bertahun-tahun berdepan serangan sistematik oleh salah satu rejim paling merosakkan di dunia, rakyat Venezuela yang berani telah memberikan bukti keberanian, kecerdikan, ketabahan, dan kasih sayang yang tiada tandingan," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Parlimen Eropah, Roberta Metsola, mengulangi kecaman Kesatuan Eropah (EU) terhadap rejim Maduro atas pelbagai cubaan kejam untuk menindas suara demokratik jutaan rakyat Venezuela".

"Tangan besi Maduro tidak akan mampu mematahkan semangat dan suara rakyat Venezuela," tegas Metsola.

Pilihan raya Venezuela mencetuskan protes besar selepas Maduro mendakwa kemenangan walaupun keputusan yang diumumkan oleh pihak pembangkang menunjukkan calon mereka menang besar.

Rusuhan itu mengakibatkan 28 orang terbunuh dan hampir 200 cedera, manakala lebih 2,400 individu ditahan.

Majlis angkat sumpah Maduro dijadualkan berlangsung pada 10 Januari, dengan pemimpin populis itu merancang untuk menjadikannya sebagai sokongan terhadapnya.

Namun begitu, Edmundo Gonzalez Urrutia mengumumkan bahawa beliau akan cuba pulang ke tanah air pada hari yang sama untuk "mengambil alih jawatan yang sepatutnya menjadi haknya".

Dalam satu wawancara bersama AFP pada Isnin, Gonzalez Urrutia menyatakan harapannya bahawa kepulangan tersebut akan menjadi permulaan era baharu" bagi Venezuela.

Terdahulu, Hadiah Sakharov dinamakan sempena tokoh pembangkang Soviet, Andrei Sakharov dan diadakan pada setiap tahun. Antara penerima terkenal sebelum ini termasuk Nelson Mandela dari Afrika Selatan dan aktivis Rusia, Alexei Navalny.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD