PARIS, 18 Februari – Para pemimpin Eropah menyeru peningkatan perbelanjaan pertahanan dalam satu mesyuarat kecemasan yang diadakan atas inisiatif Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Paris pada Isnin.
Langkah itu dibuat susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengatur rundingan damai dua hala dengan Rusia tanpa melibatkan sekutu Eropah dan Ukraine.
Keputusan Washington itu mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan perlindungan keselamatan Eropah, yang selama ini banyak bergantung kepada Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, sebelum mesyuarat menyatakan kesediaannya menghantar pasukan pengaman ke Ukraine.
Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan sedemikian perlu disertai komitmen keselamatan daripada Amerika Syarikat.
Penempatan pasukan pengaman dikhuatiri boleh mencetuskan konfrontasi langsung dengan Rusia, di samping membebankan angkatan tentera Eropah yang sudah kehabisan sumber akibat membekalkan senjata kepada Ukraine.
Canselor Jerman, Olaf Scholz, menyatakan bahawa sebarang perjanjian damai perlu mendapat persetujuan Ukraine, dan menyifatkan perbincangan mengenai misi pengaman Jerman sebagai “tidak sesuai” selagi perjanjian damai belum dimeterai.
Scholz dan Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, menegaskan bahawa peraturan fiskal ketat Kesatuan Eropah (EU) perlu dilonggarkan bagi membolehkan negara-negara Eropah meningkatkan perbelanjaan pertahanan tanpa melanggar had defisit EU.-REUTERS