fb fb fb fb fb

Enjin kiri terbakar, penerbangan JT330 Lion Air patah balik

JAKARTA, 27 Oktober- Pesawat penerbangan JT330 Lion Air terpaksa patah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas enjin kirinya terbakar, hanya 32 minit selepas berlepas pada petang Rabu.

Pesawat membawa 169 penumpang dan enam anak kapal itu dilaporkan berlepas pada pukul 5.14 petang waktu tempatan ke Palembang di Wilayah Sumatera Selatan.

Juruterbang Boeing 737-800NG mengisytiharkan kecemasan dan meminta untuk berpatah balik. Pesawat mendarat dengan selamat.

“Pada ketinggian 3,000 kaki, juruterbang merasakan operasi salah satu komponen pesawat tidak berfungsi,” menurut kenyataan syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia itu.

(FOTO REUTERS)

Pegawai komunikasinya, Danang Mandala Prihantoro berkata siasatan sedang dijalankan.

Gambar pesawat dengan enjin terbakar tular.

Memetik jurucakap Polis Metropolitan Jakarta Endra Zulpan, Portal berita tempatan, liputan6.com berkata pesawat itu mengalami masalah pada enjin kiri.

Penumpang itu dipindahkan ke pesawat lain dan berlepas semula pada pukul 7.40 malam waktu tempatan, katanya. - BERNAMA

Media Baharu