fb fb fb fb fb

15 maut dalam serangan ke atas masjid Syiah di Iran

(Petugas masjid membersihkan tempat kejadian berikutan serangan bersenjata pada 26 Oktober 2022 / AFP)

TEHRAN, 27 Oktober- Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah masjid Syiah di selatan Iran, pada Rabu.

Serangan dilakukan oleh militan daesh semasa waktu solat di Shah Cheragh, bandar Shiraz itu turut mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang, lapor televisyen kerajaan.

Laporan awal menyebut 13 orang terbunuh dan 40 cedera, melibatkan tiga penyerang.

Namun, ketua badan kehakiman tempatan Kazem Mousavi memberitahu hanya seorang pengganas terlibat dalam serangan tersebut.

Penyerang "menembak secara rambang ke arah jemaah" di masjid, kata gabenor tempatan Mohammad-Hadi Imanieh.

Seorang saksi memberitahu agensi berita IRNA bahawa dia mendengar tangisan wanita ketika solat magrib bermula, dengan penyerang memasuki masjid lalu melepaskan tembakan.

Media Iran menyiarkan imej dan rakaman video yang menunjukkan mayat berlumuran darah ditutup dengan kain.

IRNA turut menyiarkan foto seorang budak lelaki di atas usungan dan seorang lagi seorang wanita memegang seorang kanak-kanak, dengan kesan darah di atas tanah.

Agensi berita Iran Fars pula melaporkan seorang wanita dan dua kanak-kanak adalah antara yang terbunuh.

Militan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Makam Shah Cheragh adalah tempat persemadian Ahmad, saudara kepada Imam Reza, imam Syiah kelapan dan dianggap oleh kalangan penganut sebagai tapak paling suci di selatan Iran.

Presiden Iran Ebrahim Raisi mengutuk serangan tersebut sambil menyifatkan militan Daesh cuba "memecahbelahkan barisan bersatu negara, melalui keganasan", menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam satu kenyataan turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas ke atas Masjid Shah Cheragh itu.

"Serangan menyasarkan tapak keagamaan adalah amat keji," tambahnya.

Serangan tersebut berlaku ketika Iran digemparkan dengan protes jalanan sejak kematian Mahsa Amini bulan lalu selepas dia ditangkap oleh polis moral kerana didakwa melanggar peraturan pakaian ketat terhadap wanita.

Berpuluh-puluh orang, terutamanya penunjuk perasaan termasuk anggota pasukan keselamatan telah terbunuh semasa pergolakan itu. Beratus-ratus lagi, termasuk wanita, telah ditangkap.

Stesen televisyen negara melaporkan satu tangkapan berhubung serangan masjid itu dan mengatakan bahawa penyerang adalah "seorang pengganas yang bergabung dengan kumpulan takfiri".

Istilah takfiri di Iran dan di beberapa negara lain merujuk kepada kumpulan Islam Sunni radikal.

Serangan itu adalah yang kedua paling dahsyat tahun ini terhadap sebuah masjid Syiah di Iran.

Pada April, seorang lelaki berusia 21 tahun, berasal dari Uzbekistan menikam dua ulama Syiah dan mencederakan seorang lagi di Masjid Imam Reza.

Pembunuhan itu berlaku semasa bulan Ramadan ketika sekumpulan besar jemaah berkumpul di masjid, bandar kedua terbesar di Iran, Mashhad.

Penyerang telah menikam salah seorang mangsa sebanyak 20 kali, lapor agensi berita Tasnim.

Pemuda itu dikenal pasti sebagai pelampau Sunni oleh pihak berkuasa Iran, dijatuhi hukuman mati dan dihukum gantung pada Jun.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas dua ulama Sunni ditembak mati di luar sebuah seminari di bandar Gonbad-e Kavus, utara Iran.

Ketiga-tiga suspek dalam kes itu, juga Sunni, telah ditangkap pada akhir April tetapi dikatakan "tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas", lapor media kerajaan pada masa itu.

Serangan pada Rabu juga merupakan paling buruk sejak Februari 2019, apabila 27 anggota Pengawal Revolusi, tentera ideologi Iran, terbunuh dalam serangan di tenggara negara itu.

Pada 2018, 24 orang terbunuh dalam serangan di Ahvaz, di barat daya Iran.

Daesh mendakwa serangan pertamanya di Iran pada 2017 apabila lelaki bersenjata dan pengebom berani mati menyerang kerusi parlimen di Tehran dan makam Ayatollah Ruhollah Khomeini, pengasas republik itu, membunuh 17 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang.- AFP


(Foto menunjukkan kesan darah di atas lantai selepas serangan bersenjata di Masjid Shah Cheragh

di bandar Shiraz, Iran pada 26 Oktober 2022 / AFP)

Media Baharu