JAKARTA, 27 Oktober - Menteri-menteri Luar Asia Tenggara mengadakan pertemuan di Jakarta bagi membincangkan krisis politik di Myanmar, menjelang sidang kemuncak pemimpin ASEAN pada November, tanpa wakil daripada junta tentera negara itu.
Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu, dengan lebih 2,300 terbunuh, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menyuarakan kebimbangan dengan peningkatan pencabulan hak asasi manusia di negara itu.
Bagaimanapun usaha menyelesaikan krisis itu masih belum membuahkan hasil.
Lima pelan ASEAN yang diketengahkan pada April tahun lepas akan menjadi salah satu fokus rundingan itu, kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
Jurucakap kementerian luar berkata Marsudi akan memberi ucapan pada sebelah petang.
(FOTO AFP)
Blok 10 negara itu dijangka membincangkan memgenai perkembangan rancangan itu, yang menyeru untuk menamatkan keganasan, peningkatan bantuan dan dialog antara tentera dan gerakan antirampasan kuasa.
“Junta Myanmar tidak menunjukkan sebarang keinginan atau langkah konkrit untuk pelaksanaan (rancangan),” kata seorang pegawai kementerian luar Indonesia kepada AFP minggu lalu.
Pemimpin Junta Min Aung Hlaing tidak dijemput ke sidang kemuncak pemimpin ASEAN di Kemboja bulan depan untuk tahun kedua berturut-turut dan diplomat tertinggi Myanmar Wunna Maung Lwin dikecualikan daripada rundingan peringkat menteri pada Februari dan Ogos.
Seorang pegawai kementerian luar Thailand mengesahkan Myanmar tidak menghantar wakil ke mesyuarat berkenaan. - AFP