KABUL, 30 April - Enam orang terbunuh selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di dalam masjid di barat Afghanistan, kata jurucakap kerajaan pada Selasa.
Jurucakap Menteri Dalam Negeri, Abdul Mateen Qani berkata dalam kejadian tersebut berlaku pada Isnin sekitar pukul 9.00 malam (waktu tempatan), salah seorang lelaki tidak dikenali dan bersenjata telah menembak orang awam yang berada di dalam masjid.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di Daerah Guzara, Wilayah herat.
"Enam orang awam dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi mangsa cedera", kata Qani menerusi platform sosial media X pada pagi Selasa.
Agensi berita rasmi kebangsaan, Agensi Berita Bakhtar turut memberi angka kematian yang serupa dalam serangan berkenaan.
Memetik sumber tempatan, rangkaian media Tolo melaporkan masjid yang menjadi lokasi serangan adalah milik minoriti Syiah Afghanistan.
Setakat ini tiada pihak bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan. Namun, kumpulan pemberontak Negara Islam (IS) dilihat sebagai ancaman utama di Afghanistan dan sering menyasarkan komuniti Syiah di negara itu.
Kerajaan Taliban sebelum ini berikrar untuk melindungi agama dan kepentingan etnik minoriti sejak kembali mengambil alih pentadbiran pada Ogos 2021.
Para pemerhati menyifatkan kerajaan Taliban tidak berbuat apa-apa bagi menunaikan janji tersebut.
Pada 2022, IS melancarkan serangan berani dengan pengeboman berani mati di sebuah pusat pendidikan di Kabul.
Serangan tersebut mengakibatkan 46 pelajar perempuan terbunuh.
Pihak berkuasa Taliban menyalahkan IS terhadap serangan berkenaan yang menyasarkan kawasan kejiranan Syiah.-AFP