fb fb fb fb fb

Enam terbunuh dalam kemalangan di atas jambatan

FOTO HIASAN

BEIJING, 23 September- Enam orang terbunuh selepas sebuah kereta hilang kawalan dan melanggar motosikal serta kenderaan lain di atas sebuah jambatan di Hunan, China awal pagi tadi.

Menurut polis, kereta itu dilanggar dari belakang, menyebabkan ia melanggar kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Tujuh orang lagi cedera, kata polis.

Kemalangan itu berlaku pada pukul 7.36 pagi, apabila sebuah kereta hilang kawalan selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah teksi dan merempuh beberapa kenderaan yang bergerak dari arah bertentangan di Jambatan Lusong di bandar Zhuzhou.

Punca kemalangan sedang disiasat, menurut agensi berita negara Xinhua.

Kemalangan trafik membabitkan kehilangan nyawa sering berlaku di China, disebabkan oleh standard keselamatan yang lemah dan kecuaian pemandu.

Pada bulan ini, dalam insiden yang berasingan, sebuah bas sekolah merempuh orang ramai di luar sebuah sekolah menengah di timur China, mengorbankan 11 ibu bapa dan pelajar.

Pengendali penyiaran negara CCTV melaporkan pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan itu semasa menghampiri sekolah di bandar Tai'an, provinsi Shandong.

Julai lalu, polis melaporkan sebuah kenderaan merempuh pejalan kaki di bandar tengah Changsha, mengorbankan lapan orang dan mencederakan lima yang lain.

Seorang suspek berusia 55 tahun yang tinggal di kawasan itu telah ditahan sementara siasatan dijalankan, tetapi tidak jelas sama ada kejadian itu sengaja dilakukan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE