MADRID, 31 Januari – Sekurang-kurangnya enam orang cedera, manakala seorang daripadanya parah, dalam letupan di sebuah kilang peluru di Murcia, Sepanyol, pada Khamis.
Menurut perkhidmatan kecemasan Murcia, letupan berlaku di kilang Rheinmetall Expal Munitions, Javali Viejo yang menghasilkan peluru artileri, mortar, dan sistem pendorongan roket.
Pasukan kecemasan segera ke lokasi kejadian dan merawat enam lelaki berusia antara 30 hingga 52 tahun yang mengalami kecederaan di kepala, melecur, dan sesak nafas akibat asap tebal.
Lima mangsa telah dihantar ke hospital di Murcia untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi menerima rawatan di tempat kejadian.
Pasukan bomba turut memadamkan dua kebakaran yang tercetus akibat letupan. Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian. - AFP