fb fb fb fb fb

Hamas sahkan ketua sayap tentera Mohammed Deif terbunuh

Ketua sayap tentera Hamas, Mohammed Deif

GAZA, 31 Januari – Hamas mengesahkan ketua sayap tenteranya, Mohammed Deif telah terbunuh, yang sebelum ini dilaporkan maut dalam serangan udara Israel pada tahun lalu.

Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida, menerusi kenyataan video mengesahkan kematian Mohammed Deif, ketua staf Briged Al-Qassam, serta timbalannya, Marwan Issa.

Israel sebelum ini menuduh Deif sebagai antara perancang utama serangan 7 Oktober, bersama pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang terbunuh pada 16 Oktober tahun lalu.

Pada 1 Ogos tahun lalu, Zionis Israel mengumumkan bahawa Deif telah terbunuh dalam serangan udara di Gaza sebulan sebelumnya.

Mereka mendakwa serangan itu dilancarkan di Khan Yunis pada 13 Julai, dan hasil penilaian risikan mengesahkan kematiannya bersama salah seorang komander tertinggi, Rafa Salama.

Latar Belakang Mohammed Deif

Mohammed Deif, atau nama sebenarnya Mohammed Diab al-Masri, dilahirkan pada tahun 1965 di kem pelarian Khan Yunis.

Beliau mengetuai sayap ketenteraan Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, sejak tahun 2002 dan merupakan antara individu paling dikehendaki oleh Israel selama hampir tiga dekad.

Deif juga telah dimasukkan dalam senarai "pengganas antarabangsa" oleh Amerika Syarikat sejak tahun 2015.

Sepanjang kerjayanya, Deif jarang muncul di khalayak ramai, sering memakai topeng atau hanya dipaparkan dalam bayang-bayang dalam rakaman video.

Pada Januari 2024, Israel mengeluarkan gambar beliau yang menunjukkan kehilangan sebelah mata, namun tidak dinyatakan bila gambar itu diambil.

Dikaitkan dengan pembinaan rangkaian terowong bawah tanah yang luas di Gaza, Deif pernah beberapa kali terselamat dalam cubaan untuk dibunuh Israel, menyebabkan musuhnya menggelarnya sebagai "kucing dengan sembilan nyawa."

Pada tahun 2014, serangan udara Israel ke atas Gaza mengorbankan isteri dan anak lelaki Deif yang berusia tujuh bulan.

Pada Mei lalu, Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan permohonan waran tangkap terhadap Deif dan Yahya Sinwar atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Sehingga Khamis, Hamas belum pernah mengesahkan kematian Deif secara rasmi. - AFP

 

GRACE AISYAH KEDAYAN