fb fb fb fb fb

Nahas udara Washington: Kesemua 67 mangsa dipercayai terkorban

Serpihan pesawat (kiri) di Sungai Potomac, Washington, susulan perlanggaran udara antara pesawat American Airlines dan helikopter tentera Black Hawk (kanan) pada malam Rabu lalu/AFP

WASHINGTON, 31 Januari- Pihak berkuasa Amerika Syarikat percaya bahawa tiada mangsa terselamat dalam insiden perlanggaran antara sebuah helikopter tentera dan pesawat komersial yang membawa 64 penumpang di ruang udara Washington pada Rabu.

Ketua Jabatan Bomba Washington, John Donnelly memaklumkan operasi menyelamat telah bertukar kepada operasi pemulihan, dengan pasukan penyelamat menemui 28 mayat setakat ini.

"Kami tidak percaya ada mangsa yang terselamat," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Nasional Reagan pada Khamis.

Nahas yang berlaku kira-kira lima kilometer dari White House itu menyaksikan serpihan kedua-dua pesawat bertaburan di Sungai Potomac, dengan pasukan penyelam dan penyelamat berusaha mengumpulkan sisa-sisa pesawat berkenaan.

Pesawat Bombardier yang dikendalikan anak syarikat American Airlines itu membawa 60 penumpang dan empat anak kapal, manakala helikopter Black Hawk tentera sedang menjalani latihan penerbangan malam ketika perlanggaran berlaku. Helikopter terbabit dilapor membawa tiga anggota tentera.

Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth memaklumkan bahawa helikopter berkenaan dikendalikan krew berpengalaman yang turut menggunakan kaca mata penglihatan malam.

Rakaman pusat kawalan trafik udara menunjukkan percubaan mengarahkan helikopter untuk mengelakkan pesawat sebelum perlanggaran berlaku  sekitar pukul 9.00 malam waktu tempatan.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataan di media sosial mempersoalkan tindakan kawalan trafik udara dan menegaskan bahawa insiden itu sepatutnya dapat dielakkan.

"Pesawat berada dalam laluan mendarat yang rutin dan sempurna ke lapangan terbang, manakala helikopter terbang terus ke arahnya untuk tempoh yang lama. Cuaca cerah dan lampu pesawat menyala terang.

"Mengapa helikopter tidak menaikkan atau menurunkan altitud atau mengubah haluan? Mengapa menara kawalan tidak memberikan arahan jelas, sebaliknya hanya bertanya sama ada mereka melihat pesawat itu? Situasi ini sepatutnya boleh dielakkan," katanya di platform Truth Social.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pula telah menggantung semua penerbangan di Lapangan Terbang Nasional Reagan dan operasi dijangka disambung semula pada 11.00 pagi waktu tempatan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Lapangan terbang sama pernah menjadi lokasi nahas tragis pada tahun 1982 apabila sebuah Boeing 737 terhempas selepas berlepas, melanggar sebuah jambatan sebelum jatuh ke dalam Sungai Potomac yang membeku, mengorbankan 78 nyawa. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA