NEW DELHI, 26 Mei- Seramai enam orang bayi baru lahir meninggal dunia selepas sebuah hospital kanak-kanak di ibu negara India terbakar, malam tadi.
Pegawai kanan polis, Surendra Choudhary berkata, kesemua 12 bayi berjaya dibawa keluar dari Hospital New Born Baby Care di Vivek Vihar dekat sini dengan bantuan orang ramai.
Bagaimanapun, Choudhary berkata, enam daripadanya maut ketika menerima rawatan kecemasan.
"Tindakan undang-undang sedang diambil terhadap pemilik hospital," kata Choudhary.
Pengarah Jabatan Bomba New Delhi, Atul Garg berkata, sebanyak 14 jentera bomba dihantar untuk memadam kebakaran.
"Api merebak terlalu cepat akibat letupan pada silinder oksigen," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Arvind Kejriwal menggesa siasatan dijalankan agar pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
"Kami semua berdiri bersama mereka yang kehilangan anak tidak berdosa ini. Punca kejadian sedang disiasat.
"Sesiapa yang bertanggungjawab atas kecuaian ini tidak akan terlepas," tegasnya.