fb fb fb fb fb

Empat terbunuh dalam nahas pesawat ringan di Filipina

(FOTO REUTERS)

MANILA, 23 Februari-Pasukan penyelamat Filipina mengesahkan empat orang terbunuh selepas pesawat dinaiki terhempas berdekatan gunung berapi aktif hujung minggu lepas.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa, mangsa termasuk dua warga Australia di dalam pesawat Cessna 340 didapati hilang pada pagi Sabtu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol di Daerah Tengah Albay, beberapa kilometer dari Gunung berapi Mayon.

Menurut Datuk Bandar Camalig, Carlos Baldo, pasukan mencari dan menyelamat telah menemui serpihan pesawat pada Rabu dan mengesahkan tiada mangsa terselamat daripada nahas.

"Kami menjumpai serpihan pesawat di tempat kejadian dan mengesahkan tiada tanda-tanda mangsa terselamat", ujarnya pada satu sidang media.

Menurut Baldo lagi, seramai 179 penyelamat terlibat membawa keluar mayat-mayat menuruni curam gunung berapi Mayon.

Jabatan Penerbangan Awam Filipina pula memaklumkan serpihan pesawat dijumpai di sebelah barat gunung berapi berketinggian antara 3,500 ke 4000 kaki dari aras laut.

Sementara itu, Syarikat Pembangunan Tenaga Manila mengesahkan pesawat malang itu kepunyaan mereka. Manakala warga Australia yang terkorban merupakan perunding teknikal syarikat berkenaan.

Presiden syarikat, Richard Tantoco menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

Kabus tebal dan risiko letusan gunung berapi menyukarkan usaha menyelamat-AFP


(Gunung berapi Mayon di Filipina)

Media Baharu