WASHINGTON, 23 Februari-Bank Dunia berharap dapat mencari pengganti David Malpass selepas dia mengumumkan peletakan jawatannya setahun sebelum penggalnya berakhir.
Bank yang berpusat di Washington itu akan mula membuka pencalonan mencari ketua baharu bermula hari ini sehingga 29 Mac depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Dunia itu, calon daripada golongan wanita sangat-sangat dialu-alukan.
"Calon-calon akan disenarai pendek diikuti temuduga formal dan dijangkakan pelantikan ketua yang baharu pada awal bulan Mei nanti".
David Malpass 66 tahun dilantik pada 2019 ketika era Presiden Donald Trump. Sebelum ini, beliau bertugas di bawah Perbendaharaan Amerika Syarikat bagi Hal- Ehwal Antarabangsa.
Minggu lalu, Malpass mengumumkan dia akan meletakkan jawatan setahun sebelum penggalnya berakhir pada 2024.
Sepanjang pentadbirannya, menyaksikan organisasi itu bergelut dengan krisis global seperti pandemik Covid-19, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan kelembapan ekonomi antarabangsa.
Sebelum ini, Malpass menghadapi tekanan supaya meletakkan jawatan oleh aktivis-aktivis alam sekitar ekoran beberapa kenyataannya berkenaan perubahan iklim dan dituduh menjadi penafi krisis iklim.
September lalu, ahli ekonomi Amerika Syarikat itu mengelak soalan sama ada membakar bahan api fosil menyumbang kepada pemanasan global, sebaliknya berkata: "Saya bukan seorang saintis."
Ketua Bank Dunia itu dikriktik hebat di atas kenyataan berkenaan, termasuk oleh Rumah Putih serta Menteri Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi Jerman, Svenja Schulze, yang ketika itu menganggapnya sebagai 'menjelikkan'.
Malpass kemudiannya berkata, beliau menyesali pemilihan perkataannya.
Bank Dunia meminjamkan wang kepada negara-negara miskin dengan syarat yang sesuai dengan sasaran mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan.
Pertubuhan itu disokong oleh 189 negara di seluruh dunia-AFP
(Ketua Bank Dunia, David Malpass/Foto AFP)