fb fb fb fb fb

Stesen minyak di Rusia terbakar, empat termasuk kanak-kanak maut

Satu tangki minyak melayang melepasi saksi yang merakam letupan di stesen minyak Groznyy semalam/Reuters

MOSCOW, 13 Oktober- Kebakaran di sebuah stesen minyak di Chechnya, Rusia meragut empat nyawa termasuk dua kanak-kanak dalam kejadian semalam.

Pihak berkuasa mengeluarkan imej memaparkan lebih 12 anggota bomba bertungkus lumus memadamkan api di stesen minyak yang hampir musnah sepenuhnya dengan kenderaan terbakar di bandar utama, Groznyy.

"Malangnya, empat orang terkorban termasuk dua kanak-kanak," menurut Kementerian Kecemasan Rusia.

Kebakaran berjaya dipadamkan, dan stesen minyak tersebut terletak di Jalan Mohammad Ali berhampiran ibu kota Chechnya.

Video di media sosial turut menunjukkan letupan besar dengan api menjulang tinggi ke langit.

Wilayah Kaukasus Utara Rusia baru-baru ini menyaksikan beberapa siri letupan maut di stesen minyak.

Bulan lalu, letupan di sebuah stesen minyak di wilayah jiran, Dagestan menyebabkan 13 kematian. Pada Ogos 2023, letupan serupa di wilayah sama meragut 35 nyawa dan mencederakan puluhan lagi. -AFP

SITI AISHAH MD ISA