BRASÍLIA, 13 Oktober- Sekurang-kurangnya lapan orang maut akibat hujan lebat di Brazil ketika ribut melanda beberapa bahagian negara itu selepas dilanda kemarau teruk yang berpanjangan.
"Bahagian tengah dan tenggara Brazil telah dilanda hujan sejak Jumaat lalu dengan angin mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dan hujan harian sehingga 10 sentimeter," menurut Institut Meteorologi Kebangsaan.
Tujuh orang maut di São Paulo -- negeri paling padat penduduk di Brazil -- kebanyakannya akibat pokok tumbang dan dinding roboh disebabkan angin kuat dan hujan lebat.
Sekitar 1.6 juta rumah dan perniagaan di bandar berkenaan juga masih mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut syarikat tenaga, Enel.
Sementara di ibu kota Brasília, seorang anggota tentera terbunuh dan seorang lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang ketika mereka sedang menurunkan bendera di hadapan ibu pejabat polis tentera.
Media juga melaporkan pegawai dalam Dewan Perwakilan, dewan rendah Kongres Brazil, terpaksa menggunakan payung dalam bangunan itu apabila air hujan bocor daripada bumbung.
Bagaimanapun ramai menyambut baik hujan lebat tersebut sebagai "kelegaan" di Brasília selepas lebih 165 hari tanpa hujan.
Brazil dalam beberapa bulan terakhir mengalami kemarau terburuk sejak rekod dicatat yang menurut pakar berkait dengan perubahan iklim.
Cuaca kering itu menyebabkan kebakaran di seluruh negara termasuk kawasan hutan hujan Amazon. -AFP