fb fb fb fb fb

El Salvador dilanda gempa bumi

(Foto Hiasan/AFP)

SAN SALVADOR, 4 November- Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter menggegarkan El Salvador malam tadi. Bagaimanapun pihak berkuasa Salvador tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda dan kecederaan.

Menurut Kementerian Alam Sekitar, gegaran itu berlaku 10:26 malam, berpusat 37 kilometer (22 batu) dari pantai selatan negara itu, berhampiran bandar Mizata di wilayah La Libertad.

Presiden, Nayib Bukele berkata tidak ada laporan kerosakan daripada angkatan tentera atau polis.

"Tiada kerosakan pada lebuh raya utama. Nampaknya gempa bumi tidak menyebabkan sebarang kerosakan. Syukur alhamdulillah," katanya di Twitter.

Gempa bumi berkenaan turut dirasai di negara jiran Guatemala. Penyelaras Kebangsaan bagi Pengurangan Bencana negara itu, melaporkan tiada orang yang terjejas atau kerosakan berlaku di sana.

Sekurang-kurangnya 14 jabatan di El Salvador turut merasai gegaran itu, menurut laporan di media sosial. Bagaimanapun, Kementerian Alam Sekitar berkata gegaran itu lebih ketara di kawasan pantai.


(Foto hiasan/AFP)

Sementara itu, akhbar tempatan melaporkan di ibu kota San Salvador, gegaran itu menyebabkan kebimbangan dan orang ramai meninggalkan rumah mereka serta penduduk ke jalan raya di kebanyakan kawasan perumahan.

Menteri Dalam Negeri, Salvador Juan Carlos Bidegain berkata walaupun tiada laporan awal mengenai kerosakan atau kecederaan, seluruh wilayah akan terus dipantau.

Kerajaan menambah 'sistem amaran' di semua institusi diaktifkan untuk menangani sebarang kecemasan akibat gempa bumi.

Kementerian Alam Sekitar berkata bahawa sekurang-kurangnya enam gempa susulan telah direkodkan berikutan gempa bumi awal, dengan pusat gempa di kawasan yang sama.

“Gegaran susulan paling kuat ialah dengan berukuran 3.8, jadi kami menyeru penduduk supaya berhati-hati,” kata Menteri Alam Sekitar, Fernando Lopez semasa sidang media.

Beliau menolak kemungkinan amaran tsunami terutamanya di kawasan pantai negara itu selepas gempa.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa lebih banyak gegaran susulan mungkin akan berlaku.

Media Baharu