FOTO AFP
SINGAPURA, 3 Januari- Ekonomi Singapura berkembang 7.2% tahun lalu, meningkat daripada kemelesetan terburuk sejak pandemik COVID-19 menular, menurut data rasmi kerajaan.
Singapura mengalami prestasi ekonomi paling buruk pada 2020 disebabkan penutupan perniagaan dan sempadan antarabangsa, sekali gus menjejaskan prestasi ekonomi, perdagangan juga sektor pelancongan.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Perdagangan Singapura, ramalan awal ekonomi negara dijangka berkembang 5.9% tahun ke tahun pada suku keempat hingga Disember.
"Ia membawa pertumbuhan tahunan kepada 7.2%, memulih penguncupan 5.4% pada 2020, iaitu yang terburuk sejak kemerdekaan pada 1965", kata kenyataan itu.
Sejak pandemik, pihak berkuasa telah mengenakan langkah sekatan pergerakan dan aktiviti sosial agak ketat, namun kemudian beralih kepada polisi untuk hidup bersama virus selepas majoriti penduduk menerima vaksin lengkap.
Setakat semalam, Singapura merekodkan sebanyak 280,290 kes positif COVID-19 dengan 829 kes kematian.
Sektor pembuatan yang menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara, melonjak 12.8% tahun ke tahun didorong permintaan global bagi peralatan semikonduktor dan semikonduktor, kata kementerian itu.
Bagi sektor pembinaan yang menjadi pemacu pertumbuhan domestik, ia meningkat 18.7 peratus untuk tempoh setahun.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam perutusan Tahun Baharu 2020, Singapura masih belum keluar daripada kemerosotan ekonomi.
"Memasuki tahun baharu, usaha melawan COVID-19 masih belum berakhir, Varian Omicron membawa kepada keadaan baharu yang belum pasti", kata Lee.
Bagaimanapun tambahnya, Singapura berada dalam kedudukan yang baik dalam aspek menangani risiko pandemik berbanding dua tahun lalu selepas vaksinasi dos penggalak telah dimulakan dan kini dalam proses memulakan vaksinasi untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun. - AFP