fb fb fb fb fb

Enam kes baharu Ebola ditemukan di Uganda

(Kakitangan perubatan memakai pakaian perlindungan diri semasa latihan di Hospital Besar Bwera  bersempadan dengan DRC, Uganda barat, pada 12 Disember 2018/AFP)

KAMPALA, 23 September- Enam kes baharu Ebola ditemukan di Uganda.

Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara keseluruhan, tujuh kes direkodkan dengan satu kematian.

Sebanyak 43 kontak rapat telah dikenal pasti. Manakala, 10 orang disyaki dijangkiti wabak maut itu sedang dirawat di hospital di daerah Mubende.

Kementerian Kesihatan Uganda telah mengisytiharkan penularan wabak Ebola di daerah berkenaan, selepas berlaku kematian membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun.

"Pakar kami sudah berada di lapangan bekerjasama dengan pasukan kawalan Ebola berpengalaman Uganda untuk meningkatkan pengawasan, diagnosis, rawatan dan langkah pencegahan," kata Pengarah Kecemasan Serantau, WHO Afrika, Abdou Salam Gueye.


(Enam kes baharu Ebola ditemukan di Uganda/REUTERS)

Kali terakhir kes Ebola dikesan di Uganda pada 2019 dan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang meninggal dunia

Sementara itu, Republik Demokratik Congo (DRC), merekodkan kes baharu di bahagian timur pada bulan lalu, kurang enam minggu selepas wabak di barat laut negara itu diisytiharkan berakhir.

Virus itu pertama kali dikenal pasti pada tahun 1976 di DRC dan mencetuskan wabak di Afrika sehingga membunuh kira-kira 15,000 orang.

Penularan kepada manusia adalah melalui cecair badan, dengan simptom utama ialah demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit.

Wabak terburuk di Afrika Barat antara 2013 dan 2016 membunuh lebih daripada 11,000 orang. DRC telah mengalami puluhan wabak, dan menyebabkan lebih 2,000 orang maut pada tahun 2020.-AFP

Media Baharu