(FOTO AFP)
PARIS, 12 Januari- Dunia berada pada "zaman perindustrian baharu" pembuatan teknologi tenaga bersih yang akan meningkat tiga kali ganda nilainya menjelang 2030 dan mewujudkan berjuta-juta pekerjaan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IAEA).
Pasaran global untuk teknologi pembuatan besar-besaran utama termasuk panel solar, turbin angin, bateri kenderaan elektrik, pam haba dan elektroliser untuk hidrogen akan bernilai sekitar AS$650 bilion setahun menjelang akhir dekad, menurut laporan IEA.
Angka itu lebih tiga kali ganda lebih besar daripada paras semasa, tetapi bergantung pada negara yang melaksanakan sepenuhnya ikrar tenaga dan iklim mereka, tambah laporan itu.
"Pekerjaan berkaitan dalam pembuatan tenaga bersih akan bertambah lebih dua kali ganda daripada enam juta kepada hampir 14 juta menjelang 2030.
"Sektor tenaga kini berada pada awal zaman perindustrian baharu iaitu zaman pembuatan teknologi tenaga bersih," kata IEA.
Tetapi organisasi yang berpangkalan di Paris itu memberi amaran bahawa penumpuan pengekstrakan sumber dan pembuatan menimbulkan risiko kepada rantaian bekalan.
Tiga negara menyumbang 70% daripada kapasiti pembuatan untuk teknologi solar, angin, bateri, eletroliser dan pam haba, dengan China mendominasi kesemuanya.
Republik Demokratik Congo menghasilkan lebih daripada 70% kobalt dunia, dan tiga negara; Australia, Chile dan China menyumbang lebih daripada 90% daripada pengeluaran global litium, sumber utama untuk bateri kenderaan elektrik.
"Ketegangan rantaian bekalan berisiko menjadikan peralihan tenaga lebih sukar dan mahal", tambah laporan itu.-AFP
(FOTO/REUTERS)