fb fb fb fb fb

Status pandemik COVID-19 diputuskan pada 27 Januari

GENEVA, 12 Januari- Status pandemik COVID-19 sebagai kecemasan global akan diputuskan pada 27 Januari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mempertimbangkan kesesuaian status berkenaan selepas pertama kali ia diisytihar tiga tahun lalu.

Tarikh berkenaan disahkan Jurucakap WHO, Carla Drysdale.

Jawatankuasa Kecemasan menasihati Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang akan memutuskan sama ada wabak itu disifatkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa.

Status berkenaan adalah tahap amaran tertinggi PBB berhubung pendemik COVID-19.

Beberapa saintis bagaimanapun mendakwa masih terlalu awal untuk mengisytiharkan berakhirnya fasa kecemasan pandemik berikutan tahap jangkitan masih tinggi terutamanya di China.

Dalam pada itu, WHO berkata koronavirus varian XBB.1.5 adalah antara faktor utama lonjakan kes COVID-19 global sekarang dan akan terus menyebabkan peningkatan.

"Berdasarkan ciri-ciri genetiknya dan kadar pertumbuhan awal, XBB.1.5 mungkin menjadi penyebab utama kadar jangkitan," kata WHO dalam kenyataan selepas mesyuarat teknikal pada 5 Januari lalu.

Bagaimanapun, data berkenaan tidak diberi tumpuan kerana sebahagian besarnya hanya dibekalkan oleh satu negara iaitu Amerika Syarikat (AS) yang menyediakan 80 peratus penjujukan genom.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan AS semalam melanjutkan status pandemik COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam untuk membolehkan berjuta-juta rakyat terus menerima ujian, vaksin dan rawatan percuma.

Darurat pertama kali diisytiharkan pada Januari 2020, apabila wabak COVID-19 bermula dan ia sudah diperbaharu setiap suku tahun sejak itu dan ia sepatutnya berakhir minggu ini.

Sejak awal penggal Presiden AS, Joe Biden, peningkatan ketersediaan vaksin dan ubat-ubatan secara ketara mengurangkan jangkitan COVID-19, yang pada peringkat awalnya meragut purata 3,000 nyawa rakyat AS setiap hari.

Namun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, masih terdapat beratus kematian akibat COVID-19 di AS ketika ini.



(Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus/REUTERS)

Media Baharu