fb fb fb fb fb

Deposit nadir bumi "terbesar di Eropah" ditemukan di Sweden

(FOTO AFP)

KIRUNA, 12 Januari- Deposit unsur nadir bumi dipercayai terbesar di Eropah ditemukan di utara Sweden, meningkatkan harapan untuk mengurangkan pergantungan pada China.

Menurut kenyataan kumpulan perlombongan Sweden, LKAB, deposit yang baru diterokai itu ditemukan betul-betul bersebelahan lombong bijih besinya dan mengandungi lebih satu juta tan oksida nadir bumi.

"Ini adalah deposit terbesar unsur nadir bumi yang diketahui di rantau ini dan ia boleh menjadi asas penting untuk menghasilkan bahan mentah kritikal yang sangat penting untuk membolehkan peralihan hijau," kata ketua eksekutif LKAB Jan Mostrom dalam kenyataan itu.

"Kami menghadapi masalah bekalan. Tanpa lombong, tidak mungkin ada kenderaan elektrik," tambah Mostrom.

Walaupun penemuan itu dipercayai terbesar di Eropah, ia kekal kecil pada skala global, mewakili kurang daripada satu peratus daripada 120 juta tan yang dianggarkan di seluruh dunia oleh Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pada 2021, Suruhanjaya Eropah memaklumkan bahawa 98% daripada nadir bumi yang digunakan di Kesatuan Eropah (EU) diimport dari China, mendorong Brussels menggesa negara anggota supaya membangunkan kapasiti pengekstrakan mereka sendiri.

Penemuan LKAB dibentangkan ketika delegasi Suruhanjaya Eropah melawat Sweden, yang mengambil alih jawatan presiden EU pada awal tahun.

"Hari ini, EU terlalu bergantung pada negara lain untuk bahan-bahan ini," kata Menteri Tenaga Sweden Ebba Busch dalam sidang media di sini.

"Ini mesti berubah. Kita mesti bertanggungjawab terhadap bekalan bahan mentah yang diperlukan untuk peralihan (hijau)," tambahnya. -AFP

(Pemandangan lombong besi syarikat perlombongan milik kerajaan Sweden LKAB di bandar
paling utara Sweden, Kiruna/AFP)

Media Baharu