fb fb fb fb fb

Dua wartawan ditembak mati di Haiti

(Pegawai polis mengalihkan guni yang diguan sebagai penghadang semasa bantahan terhadap kekurangan bahan api
yang semakin meningkat, harga pengguna yang melambung tinggi dan jenayah, di Port-au-Prince, Haiti 29 Ogos 2022/REUTERS)

PORT-AU-PRINCE, 14 September- Dua wartawan Haiti ditembak mati ketika membuat liputan, tatkala keganasan terhadap pengamal media semakin meningkat di ibu negara berkenaan.

Wartawan tersebut dikenali sebagai Tayson Latigue dan Frantzsen Charles, ditembak di Cite Soleil, salah satu kawasan setinggan terbesar di Haiti, yang menyaksikan serangan keganasan oleh geng bersenjata selama berbulan-bulan.

"Mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan tujuh wartawan yang pergi ke kawasan itu untuk membuat laporan pertempuran bersenjata yang membawa kepada kematian seorang remaja pada Sabtu," kata wartawan Robest Dimanche, Jurucakap Media Kolektif Dalam Talian Haiti, kepada AFP.

"Kedua-dua wartawan itu dibunuh ketika pulang dari kawasan kejiranan ibu bapa mangsa.

"Selepas kematian, mayat mereka dibakar," kata Robest memberitahu keterangan wartawan yang terselamat.

Latigue bekerja untuk saluran digital "Ti Jenn Jounalis," juga merupakan pengasasnya.

Charles pula bekerja untuk "FS News Haiti dan kematian beliau diumumkan dalam Facebook rasminya.

"Kami mengumumkan dengan penuh kesedihan kematian wartawan kami Frantzsen Charles dan seorang lagi rakan sekerja. Mereka dibunuh oleh kumpulan bersenjata semasa membuat laporan di Cite Soleil. Kami menuntut keadilan untuk rakan sekerja kami," kata kenyataan itu.

(Penunjuk perasaan bertindak balas apabila seorang pegawai polis mengambil kedudukan semasa bantahan terhadap ketidakamanan,
inflasi dan menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri, Ariel Henry, di Port-au-Prince, Haiti, 7 September 2022/REUTERS)

Sementara itu, Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry berkata beliau "sangat terkejut" dengan pembunuhan itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadab ini,” tulisnya di Twitter, pada Isnin malam.

Haiti dilanda krisis politik dan ekonomi selama bertahun-tahun, diburukkan lagi dengan pembunuhan presiden Jovenel Moise pada 2021.-AFP

Media Baharu