fb fb fb fb fb

Dua warga Korea Selatan diculik di Nigeria dibebaskan

Kedua-dua lelaki terbabit bekerja di sebuah syarikat binaan terbesar milik Korea Selatan diculik di selatan Nigeria pada 12 Disember lalu/FOTO Korea Herald

SEOUL, 31 Disember - Dua rakyat Korea Selatan akhirnya dibebaskan selepas diculik hampir tiga minggu lalu oleh kumpulan bersenjata yang tidak dikenali di Nigeria, menurut Kementerian Luar di Seoul semalam.

Menurut agensi berita Yonhap, mereka yang bekerja di sebuah syarikat binaan terbesar milik Korea Selatan diculik di selatan Nigeria pada 12 Disember lalu.

Di Nigeria, jenayah culik merupakan perkara biasa di negara itu untuk mendapatkan wang tebusan daripada mangsa.

Sejak dahulu lagi, pekerja-pekerja asing, terutama mereka yang terlibat dalam projek-projek perlombongan dan binaan sering menjadi sasaran kumpulan penjenayah di negara itu.

Pihak berkuasa Korea Selatan mengesahkan dua warga terbabit berada dalam keadaan baik.

"Mereka dipindahkan ke tempat yang lebih selamat selepas menjalani pemeriksaan perubatan dan mereka telah bercakap dengan keluarga masing-masing menerusi panggilan telefon," menurut kenyataan Kementerian luar Korea Selatan.

Kejayaan pembebasan dua lelaki tersebut hasil kerjasama rapat antara kerajaan di Seoul dan syarikat terbabit serta melalui usaha sama tentera, polis dan pasukan risikan di Nigeria.

Bagaimanapun, sebarang nilai wang tebusan yang diserahkan tidak didedahkan.

Ketika penculikan berlaku, anggota kumpulan bersenjata telah membunuh empat orang pengawal peribadi yang merupakan askar-askar Nigeria serta dua pemandu tempatan.

Kerajaan Korea Selatan berjanji akan terus meneliti langkah-langkah untuk melindungi rakyatnya di Nigeria.

"Seoul secara aktif berhubung dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan, pemilik syarikat dan rakyat Korea di luar negara untuk menghalang sebarang insiden penculikan", tambahnya kenyataan itu.

Beberapa syarikat Asia termasuk dari China dan Korea Selatan, beroperasi di Nigeria yang terlibat dalam industri projek binaan jalan raya dan kereta api. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN