NEW DELHI, 25 Mac- Dua tahun tidak bertemu isteri akibat pandemik COVID-19, seorang lelaki Vietnam nekad mendayung bot getah sejauh kira-kira dua ribu kilometer dari Phuket, Thailand ke India.
Lelaki berusia 37 tahun dari bandar Ho Chi Minh, Vietnam itu berada di laut selama 18 hari.
Lelaki berkenaan dilapor merancang untuk mendayung dari Phuket ke India, menyeberangi Laut Andaman dan melalui Teluk Bengal menaiki bot getah sepanjang 2.5 meter untuk bertemu isterinya.
Media tempatan melaporkan perjalanan itu akan mengambil masa sekitar 625 hari untuk sampai ke pantai India.
(Lelaki berkenaan sanggup menaiki bot getah sepanjang 2.5 meter untuk bertemu isterinya/ AFP)
Pada 2 Mac, lelaki itu mengambil penerbangan dari Saigon ke Bangkok dan cuba mendapatkan penerbangan ke Mumbai, lokasi isterinya tinggal.
Bagaimanapun, rancangannya tidak menjadi kerana dia memerlukan visa. Dia kemudian menaiki bas ke Phuket dan membeli bot getah.
Dan pada Rabu, Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Ketiga Tentera Laut Diraja Thai dan pegawai Taman Negara Kepulauan Similan menyelamatkan lelaki itu, kira-kira 80 kilometer dari pantai selepas dimaklumkan nelayan tempatan.
Pasukan penyelamat kemudian membawanya ke Taman Negara Kepulauan Similan untuk tindakan lanjut. -AFP