UKRAINE, 25 Mac- Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyeru tunjuk perasaan di seluruh dunia untuk menandakan genap sebulan Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.
Beliau merayu seluruh dunia membantu menamatkan peperangan dan menghulurkan bantuan bagi memastikan kewujudan negaranya.
Pencerobohan ke atas Ukraine sejak 24 Februari lalu mencetuskan perang terbesar ke atas sebuah negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Berucap semasa mesyuarat G7, NATO dan Kesatuan Eropah (EU) di ibu kota Belgium, Zelenskyy menggesa agar penghantaran senjata ditingkatkan, termasuk jet pejuang, sistem pertahanan peluru, kereta kebal, kenderaan bersenjata dan peluru antikapal.
Tentera Ukraine dilaporkan berjaya mara ke kawasan berdekatan ibu kota Kiev.
(Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berucap semasa mesyuarat G7, NATO dan Kesatuan Eropah / AFP)
Tentera Ukraine juga bertindak balas di bahagian selatan negara itu.
Kiev menjadi sasaran utama Rusia tetapi ibu kota itu terus berada di bawah kawalan Ukraine.
Menurut datuk bandarnya, sekurang-kurangnya 264 orang awam - termasuk empat kanak-kanak - terbunuh sejak percerobohan bermula. -AFP