fb fb fb fb fb

Dua pemain papan luncur salji hilang selepas runtuhan salji di Jepun

TOKYO, 30 Januari - Polis Jepun mencari dua warga asing yang bermain papan luncur salji selepas runtuhan salji berlaku di kawasan tengah pergunungan Nagano sehari sebelumnya.

Pegawai polis Tomohiro Kushibiki berkata, pasangan itu, dipercayai dalam keadaan tidak sedarkan diri, merupakan antara lima orang yang terkena runtuhan salji pada Ahad.

Beliau berkata mereka adalah sebahagian daripada rombongan yang sedang melakukan aktiviti papan luncur salji di luar kawasan rondaan sebuah pusat peranginan ski di perkampungan Otari.

Beliau menambah tiga individu lain berjaya keluar dari runtuhan salji tersebut.

Akhbar Jepun Yomiuri melaporkan 13 orang, termasuk warga Amerika dan Kanada sedang bermain papan luncur salji di luar kawasan apabila runtuhan salji berlaku.

(Jepun dilanda salji lebat, termasuk Nagano, iaitu sebuah kawasan popular bagi sukan salji dan tarikan pelancong asing/FOTO AFP)

Minggu lalu, sebahagian besar Jepun dilanda salji lebat, termasuk Nagano, iaitu sebuah kawasan popular bagi sukan salji dan tarikan pelancong asing.

Amaran runtuhan salji dan salji yang dikeluarkan Agensi Kaji Cuaca Jepun sedang berkuat kuasa di kawasan tersebut.

Pasukan polis yang dianggotai 12 pegawai menjalankan operasi mencari mangsa pada pagi Isnin namun tidak dapat mengerahkan helikopter "akibat cuaca buruk".

Mengenai pasangan yang hilang itu, Kushibiki menambah: "Kami tahu secara kasar di mana mereka berada tetapi tidak tahu tempat sebenar kerana salji turun dengan lebih lebat semalam - AFP.

Media Baharu