fb fb fb fb fb

Israel hukum keluarga lelaki Palestin didakwa terlibat serangan rumah ibadat

(Mayat salah seorang mangsa serangan tembakan berhampiran rumah ibadat di Baitulmaqdis/FOTO REUTERS)

BAITULMAQDIS, 30 Januari - Israel bersiap sedia untuk merobohkan rumah keluarga seorang lelaki Palestin di BaitulmaqdisTimur pada Ahad.

Tindakan itu dilakukan selepas lelaki itu didakwa membunuh tujuh orang di luar rumah ibadat semasa upacara Sabat kaum Yahudi pada Jumaat lalu.

Ketegangan antara Israel dengan penduduk Palestin tidak pernah reda malah semakin memuncak; menyaksikan berpuluh-puluh warga Palestin dibunuh pada bulan ini, sekali gus mencetuskan keprihatinan masyarakat antarabangsa.

Serangan berlaku sehari selepas serbuan tentera Israel di Tebing Barat, susulan beberapa serangan dari ke dua-dua pihak.

Presiden Perancis Emmanuel Macron sewaktu panggilan telefon bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Ahad menggesa agar semua pihak berhenti mengeruhkan lagi keadaan kerana hanya mencetuskan tindakan keganasan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dijangka tiba di Baitulmaqdis pada Isnin (30 Januari 2023) untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi meredakan ketegangan, manakala Pope Francis pada Ahad mengutuk "situasi yang bertambah teruk".

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dalam panggilan bersama mereka turut menyeru rakan-rakan sejawatnya di Israel dan Palestin agar "mengambil tanggungjawab sepenuhnya".

Kabinet Netanyahu berkata rumah didiami keluarga Khayri Alqam, 21 tahun, yang ditembak mati oleh polis susulan serangan berhampiran rumah ibadat Yahudi pada Jumaat lalu "akan dikepung serta-merta sebelum dirobohkan".

(Anggota Unit Khas Israel mengawal sekitar bandar lama di Baitulmaqdis berikutan
kejadian tembakan di rumah ibadat kaum Yahudi)

Seorang koresponden AFP melihat tentera Israel berada di rumah tersebut setelah mereka menutup pintu masuk kediaman, dengan beberapa penduduk Palestin memindahkan barangan mereka.

Menurut polis, ibu Alqam adalah antara lima orang yang ditahan, daripada 42 suspek yang diberkas berikutan serangan di petempatan Neve Yaakov.

Jumaat lalu sekitar pukul 8:15 malam seorang penembak tiba di rumah ibadat di boulevard Neve Yaakov di Baitulmaqdis dan terus melepaskan tembakan rambang.

Polis berkata, akibat serangan itu, tujuh orang awam disahkan maut, dan tiga orang lagi cedera.

Sejurus itu, pelaku melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah kereta, namun berjaya dikesan dan dibunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Polis Israel mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis.- AFP

Media Baharu