fb fb fb fb fb

Dua maut, kereta meletup dekat Niagara Falls

Pegawai polis melihat tempat kejadian selepas insiden kereta meletup di persimpangan Rainbow Bridge AS dengan Kanada, di Niagara Falls, New York, Amerika Syarikat/FOTO REUTERS

NEW YORK, 24 November - Dua orang maut selepas sebuah kereta meletup lalu terbakar di pusat pemeriksaan Amerika Syarikat (AS)-Kanada.

Letupan itu berlaku di persimpangan utama Rainbow Bridge berhampiran Niagara Falls, dengan kereta musnah teruk dan terbakar.

Kejadian itu mengakibatkan penutupan sempadan dan mencetuskan amaran keselamatan secara besar-besaran menjelang malam sambutan 'Hari Kesyukuran'.

Gabenor New York, Kathy Hochul mengesahkan dua orang maut dalam letupan di pos pemeriksaan kira-kira 640 kilometer (km) barat laut New York City.

Tambah Hochul, tiada bukti menunjukkan insiden itu adalah `serangan pengganas’.

Pihak berkuasa di kedua-dua belah sempadan mengaktifkan tindak balas kecemasan.

“Pada masa ini, tiada bukti menunjukkan ia merupakan aktiviti keganasan. Ia adalah kejadian ngeri, nahas, letupan namun ketika ini tiada kaitan dengan serangan pengganas,” katanya dalam satu taklimat.

Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti namun Hochul menjangkakan kenderaan mereka mungkin datang dari arah barat negeri New York.

Beberapa saksi mendakwa melihat sebuah kereta bergerak laju sebelum merempuh penghadang pos pemeriksaan dan meletup lalu terbakar.

White House memaklumkan Presiden AS, Joe Biden sudah diberi taklimat dan sedang mengikuti perkembangan insiden.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula memaklumkan kepada Parlimen menyifatkan ia merupakan situasi yang serius. – AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN