MEDAN, 20 Mac- Sekurang-kurangnya dua maut, manakala 26 lagi hilang selepas sebuah kapal membawa puluhan pendatang tanpa izin karam di luar pantai Indonesia.
Menurut seorang pegawai berkenaan, bot nelayan itu membawa 89 penumpang ketika ia berlepas ke Malaysia dan mengalami kebocoran sejurus berlepas, sebelum dilanda ombak kuat dan tenggelam.
Seorang lelaki dan seorang wanita ditemui mati, manakala 61 yang lain diselamatkan dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan.
"Kami sudah mengerahkan anggota untuk mencari 26 mangsa yang hilang, namun usaha tidak membuahkan hasil setakat ini," kata ketua pasukan mencari dan menyelamat tempatan, Ady Pandawa.
(Warga Indonesia yang mencari kerja secara haram di negara jiran Malaysia sering berdepan risiko ketika merentasi laut berbahaya -FOTO AFP)
Beliau berkata, kebanyakan penumpang di atas bot terbabit berasal dari Indonesia dan mereka dalam perjalanan mencari kerja di Malaysia tanpa dokumentasi sah.
"Kami mengesyaki jumlah penumpang melebihi kapasiti bot, jadi apabila kapal itu dipukul ombak kuat, ia serta-merta tenggelam," katanya.
Warga Indonesia yang mencari kerja secara haram di negara jiran Malaysia sering berdepan risiko ketika merentasi laut berbahaya.
Pada Januari lalu, enam wanita Indonesia lemas di pantai Malaysia selepas bot mereka karam semasa cubaan memasuki negara itu secara tidak sah.
Sebulan sebelum itu, 21 pendatang Indonesia turut maut selepas bot mereka karam. -AFP