SYDNEY, 30 Mac- Susulan pencerobohan ke atas Ukraine, Australia bertindak melalukan lebih banyak sekatan terhadap Rusia termasuklah melarang semua eksport alumina dan bauksit serta-merta.
Larangan eksport itu bertujuan memberi kesan kepada pengeluaran aluminium di Russia, yang mana 20 peratus bekalan alumina negara itu bergantung kepada Australia.
Ini juga setelah Canberra mengenakan sekatan ke atas oligarki, Oleg Deripaska, yang memiliki pegangan dalam Queensland Alumina Limited iaitu usaha sama antara syarikat aluminium Russia, Rusal dan gergasi perlombongan Rio Tinto, yang berikrar memutuskan semua hubungan perniagaan dengan Russia.
Jurucakap Rio Tinto berkata, syarikat itu sedar mengenai pengumuman kerajaan hari ini berhubung sekatan eksport dan masih dalam proses menamatkan semua hubungan komersial yang ada dengan Russia.
(Perdana Menteri Australia, Scott Morrison -FOTO AFP)
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini berkata, kerajaannya bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memberi kos dan tekanan maksimum kepada rejim Vladimir Putin untuk berundur dari Ukraine.
Beliau berkata, Australia sudah mengenakan 476 sekatan terhadap individu dan institusi Russia sejak pencerobohan bermula.
Negara itu juga berjanji untuk menyumbang lebih banyak bantuan senjata dan kemanusiaan kepada Ukraine.
Beliau mengumumkan Australia akan menderma 70,000 tan arang batu haba kepada Ukraine, berikutan permintaan daripada negara yang terkepung itu.
Kerajaan Australia juga bertindak meluluskan hampir 5,000 visa daripada warga Ukraine yang dipindahkan akibat konflik berkenaan.
Beliau mengumumkan bahawa pelarian Ukraine layak mendapat visa baharu kemanusiaan untuk tempoh tiga tahun bagi membolehkan mereka bekerja, belajar dan mengakses sistem kesihatan negara itu. -AFP