SEOUL, 8 November- Dua orang kru bot nelayan maut dan 12 lagi hilang selepas bot tersebut karam di perairan berhampiran pulau Jeju di Korea Selatan, awal pagi tadi.
Seramai 15 kru berjaya diselamatkan, termasuk dua yang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia.
"Operasi mencari dan menyelamat masih berlangsung dan kami sedang melakukan yang terbaik," kata pengawal pantai kepada AFP.
Panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.33 pagi tadi, memaklumkan bahawa bot nelayan seberat 129 tan itu sedang tenggelam.
Kru melaporkan bot tiba-tiba terbalik dan karam ketika hasil tangkapan dipindahkan ke kapal pengangkut, dengan dua kru berada dalam bot dan selebihnya atas dek.
Insiden itu berlaku kira-kira 24 kilometer dari Biyang, sebuah pulau kecil di perairan luar pantai Jeju.
Bot itu didaftarkan dengan 27 kru termasuk 16 rakyat Korea Selatan dan 11 warga asing, dua daripadanya termasuk dalam kalangan yang hilang.
Presiden Yoon Suk Yeol mengarahkan "semua sumber dan anggota yang ada" digerakkan untuk membantu operasi menyelamat.
Pengawal pantai telah mengerahkan 18 bot dan lima pesawat ke lokasi kejadian, manakala tentera laut turut menghantar enam bot tambahan, pesawat rondaan dan sebuah helikopter. -AFP