SYDNEY, 8 November- Sebuah pesawat Qantas Airways melakukan pendaratan cemas hari ini sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Sydney, mencetuskan kebakaran di landasan dan menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dialihkan.
"Penerbangan Qantas, QF520, menuju ke Brisbane dan berpusing untuk jangka masa singkat sebelum mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Sydney," kata Ketua Juruterbang Qantas, Kapten Richard Tobiano.
Sementara itu, syarikat terbabit memaklumkan juruteranya telah menjalankan pemeriksaan awal dan mengesahkan ia adalah kegagalan enjin.
"Walaupun penumpang mungkin terdengar dentuman kuat, tiada letupan berlaku," menurut pihak itu.
Airservices Australia, badan pengawal selia penerbangan, menyatakan kegagalan enjin itu menyebabkan kawasan rumput berhampiran landasan terbakar, yang dipadamkan segera oleh pasukan bomba.
Pusat Pengurusan Operasi Kebangsaan Airservices juga melaksanakan henti darat selama 47 minit di Lapangan Terbang Sydney untuk memastikan pesawat dapat mendarat secepat mungkin.
Tiada kecederaan dilaporkan dan landasan terjejas dijangka beroperasi semula lewat petang hari ini, tambah pihak itu.
Dalam pada itu, penumpang, Georgina Lewis, yang berada dalam penerbangan itu berkata dia mendengar "dentuman".
"Salah satu enjin kelihatan rosak. Juruterbang memberikan penjelasan 10 minit kemudian bahawa terdapat masalah dengan enjin kanan semasa berlepas," katanya kepada Channel Nine.
Seorang lagi penumpang, Mark Willacy, wartawan ABC, berkata, pesawat itu sukar berlepas selepas bunyi "dentuman kuat" tersebut.
"Apabila kami mendarat, penumpang memberi tepukan dan sorakan," katanya.
Kapten Tobiano berkata kakitangan Qantas "terlatih tinggi" untuk bertindak dalam situasi kecemasan.
"Kami memahami pengalaman ini amat mencemaskan bagi penumpang dan akan menghubungi semua penumpang petang ini untuk memberikan sokongan.
"Kami juga akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca masalah enjin," tambahnya.
Sejurus kejadian itu, kesemua penumpang dipindahkan ke penerbangan alternatif, kata Qantas.
Sebanyak 11 penerbangan domestik turut dibatalkan dan empat penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain, menurut jurucakap Lapangan Terbang Sydney. -AFP