fb fb fb fb fb

Dua mati, 20 cedera akibat gempa bumi melanda Sumatera, Indonesia pagi tadi

PADANG, 25 Februari - Sekurang-kurangnya dua orang mati selepas gempa 6.2 pada skala richter melanda Sumatera, Indonesia pagi tadi.

Menurut Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia, Suharyanto 20 orang lagi dilaporkan cedera di Pasaman Barat, kira-kira 17 kilometer dari pusat gempa.

Gegaran kuat itu berlaku selepas beberapa minit gegaran kecil dirasai penduduk yang telah mula mengosongkan kediaman.

“Kami semua meninggalkan rumah (selepas gegaran pertama),” kata Yudi Prama Agustino, 36 kepada wartawan. “Saya ada seorang anak berusia satu tahun, dalam keadaan panik saya bergegas menolak ‘kereta sorong bayi’ ke luar rumah”.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa berlaku pada kedalaman 12 kilometer, kira-kira 70 kilometer dari bandar Bukittinggi di wilayah Sumatera Barat.

Kampung Agustino terletak di daerah Agam, kira-kira 40 kilometer dari Bukittinggi.

“Saya sedar berlaku gempa apabila mainan anak saya jatuh. Saya agak panik kerana mentua saya berada dalam rumah dan dia tidak berapa sihat kerana sakit tua, kata Agustino merujuk gegeran pertama yang direkodkan USGS pada 5.0.

"Apabila kami berada di luar, gegaran lebih kuat 6.2 dirasai menyebabkan ramai panik," tambahnya.

Agensi Meteorologi Indonesia BMKG memberi amaran kepada orang ramai agar menjauhi kawasan cerun kerana bimbang berlaku tanah runtuh terutama ketika kemuncak musim hujan.

Gempa turut dirasai di wilayah Riau dan Sumatera Utara juga Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

- KEDIAMAN RUNTUH –

Gambar yang dikongsi dengan AFP dari bandar Pasaman yang terletak berhampiran pusat gempa, menunjukkan sebahagian rumah runtuh dan dinding berlubang.

Kediaman datuk bandar juga dilaporkan rosak termasuk tingkap kaca, menurut Suharyanto.

Rakaman televisyen pula menunjukkan pesakit dibawa keluar dari sebuah hospital di ibu kota wilayah Sumatera Barat, Padang.

Ketua agensi mitigasi bencana Pasaman, Alim Bazar memberitahu AFP terdapat beberapa bangunan retak.

“Datuk bandar telah mengarahkan semua penghuni tingkat dua dan tiga di setiap bangunan perlu dikosongkan,” katanya.

Irpanda, penduduk Pasaman yang ditemu bual Metro TV berkata dia merasai ke dua-dua gegaran.

“Gegaran pertama hanya selama beberapa saat, penduduk lari keluar rumah dan bangunan berhampiran bergoyang,” katanya.

“Tetapi gegaran kedua berlaku dan ia amat kuat. Lebih banyak penduduk melarikan diri keluar dari rumah. Pesakit di hospital turut dibawa keluar dari bangunan,” tambahnya.

-GEGARAN DI SINGAPURA DAN MALAYSIA-

Kesan gempa turut dirasai di Singapura menurut saksi dan pihak berkuasa.

"Gegaran.. dirasai dibahagian tertentu di Singapura kira-kira 9.45 pagi,” kata polis dalam satu kenyataan.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula melaporkan gegaran dirasai di negeri-negeri Barat Semenanjung.

Media Baharu