(Ibu Kota Arbil/Fail AFP)
ISTANBUL, 30 Mei- Dua lagi askar Turki terbunuh ketika operasi terhadap militan Kurdish di utara Iraq seperti dilaporkan Kementerian Pertahanan Turki dan pihak media pada Ahad.
Kematian terbaharu itu menjadikan ke semua lapan anggota tentera Turki terbunuh semasa operasi di Wilayah itu sejak Selasa lalu.
Mangsa pertama terbunuh Sabtu lalu apabila bom buatan sendiri (IED), meletup ketika mangsa dan anggota lain melalui satu kawasan. Rakan mangsa dilaporkan cedera.
Seorang lagi askar yang mengalami kecederaan dalam satu operasi pada Jumaat, mati di hospital selepas menerima rawatan, memetik laporan agensi berita Anadolu.
Turki telah melancarkan beberapa siri operasi di kawasan itu bagi menentang kumpulan bersenjata dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang disifatkan Ankara dan sekutunya Barat sebagai pertubuhan pengganas.
PKK memiliki kem latihan yang berpangkalan di wilayah autonomi Kurdish-Iraq dan telah melancarkan pemberontakan terhadap negara Turki sejak 1984. Sejak itu konflik telah menyebabkan lebih 40,000 orang, kebanyakan orang awam terbunuh.
Ankara pula telah melancarkan beberapa siri operasi terhadap kumpulan PKK itu di Iraq dan Syria dengan terbaharu bermula sejak April lalu.
Isnin lalu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa Ankara tidak lama lagi akan melancarkan operasi ketenteraan baharu di Utara Syria bagi mewujudkan 'zon keselamatan' sepanjang 30 kilometer di sepanjang sempadan negara. -AFP
(Kawasan kubu Arbil, ibu kota wilayah autonomi Kurdish di utara Iraq, Fail AFP)