fb fb fb fb fb

Dua lagi penduduk Palestin terbunuh selepas serbuan tentera Israel di Jenin

(Anak Palestin berdiri di hadapan tayar yang terbakar di kem pelarian Jenin, Tebing Barat
selepas serbuan tentera Israel pada 12 April 2022/AFP)  

RAMALLAH, 14 April- Dua lagi penduduk Palestin terbunuh dalam operasi hari ke-6 tentera Israel di daerah Jenin, Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki rejim itu.

“Dua remaja mati akibat kecederaan yang dialami dalam serbuan tentera Israel di Jenin," menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

Tentera Israel berkata, anggotanya meneruskan “operasi menentang aktiviti keganasan” merujuk insiden seminggu lalu yang mereka dakwa pemuda Jenin telah melakukan serangan sehingga menyebabkan kematian tiga individu di Tel Aviv, namun tidak pula menyatakan tenang jumlah kematian terbaharu penduduk Palestin.  


(Tentera Israel ketika melakukan serbuan di Jenin pada 12 April 2022/AFP)

Atas alasan sama, Israel telah mengarahkan lebih ramai tenteranya ke Jenin selain memperketatkan kawalan di kawasan tembok pemisah selepas empat serangan bersenjata yang mereka dakwa menyebabkan 14 penduduk Israel terbunuh dalam tempoh tiga minggu lalu.

Hari ke-5 serbuan iaitu pada Rabu seorang peguam dan dua remaja Palestin terbunuh menjadikan jumlah kematian kepada 18 orang.

Kementerian Kesihatan menyebut, peguam hak asasi manusia Muhammad Hassan Muhammad Assaf, 34, mati selepas ditembak didada oleh tentera penceroboh Israel di bandar Nablus, utara Tebing Barat.

Sejak 22 Mac lalu, seramai 20 penduduk Palestin terbunuh, termasuk pemuda yang mati ditembak oleh polis Israel selepas didakwa melakukan serangan yang menyebabkan kematian.

Susulan insiden itu, Perdana Menteri, Naftali Bennett memberi kebebasan kepada tenteranya untuk melancarkan operasi sebagai tindak balas insiden di Tebing Barat, wilayah yang telah Israel diduduki sejak Perang Enam Hari 1967. Bennett turut memberi amaran bahawa "tiada had" untuk perang kali ini.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyifatkan tentera Israel telah melakukan “pembunuhan atas sebab pembunuhan tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa.” –AFP

Media Baharu