fb fb fb fb fb

Dua kanak-kanak maut dalam letupan bom lama di Kemboja

FOTO HIASAN

PHNOM PENH, 24 Februari- Dua kanak-kanak di Kemboja maut selepas sebutir bom tangan berkuasa roket yang dipercayai tertanam sejak perang saudara meletup berhampiran rumah mereka di sebuah perkampungan terpencil di wilayah Siem Reap pada Sabtu.

Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC) Heng Ratana berkata mangsa merupakan sepupu berusia dua tahun -- seorang lelaki dan seorang perempuan yang dipercayai terkena bom berkenaan ketika bermain dan menggali tanah di kawasan kejadian.

"Siasatan mendapati kanak-kanak itu mungkin telah mengetuk bom berkenaan dengan objek, menyebabkan ia meletup. Seorang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital," katanya.

Beliau menegaskan walaupun Kemboja telah menikmati keamanan lebih 25 tahun, ancaman periuk api dan sisa perang masih mengorbankan nyawa penduduk.

Negara itu masih dipenuhi peluru dan bahan letupan tidak meletup akibat peperangan sejak 1960-an.

Selepas lebih 30 tahun perang saudara berakhir pada 1998, Kemboja menjadi antara negara paling banyak terjejas akibat periuk api dengan lebih 20,000 kematian direkodkan sejak 1979.

Bulan lalu, dua anggota pemusnah bom maut ketika cuba mengeluarkan periuk api antikereta kebal lama dari sebuah sawah, manakala seorang penduduk kampung terkorban akibat letupan periuk api di ladangnya.

Lebih 1,600 kilometer persegi tanah yang tercemar masih perlu dibersihkan, memberi kesan kepada kira-kira sejuta penduduk.

Kemboja pada asalnya menyasarkan untuk menjadi bebas periuk api menjelang 2025, namun kerajaan menangguhkan sasaran itu selama lima tahun berikutan cabaran pembiayaan serta penemuan ladang periuk api baharu di sepanjang sempadan Thailand. -AFP

SITI AISHAH MD ISA