LIMA, 24 Februari- Sekurang-kurangnya lapan maut termasuk tiga kanak-kanak, manakala 80 lagi cedera selepas bumbung medan selera di pusat beli-belah Real Plaza Trujillo, barat laut Peru runtuh pada Jumaat.
Kementerian Dalam Negeri Peru mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pasukan penyelamat termasuk anggota bomba telah dikerahkan bagi membantu mangsa yang terperangkap bawah runtuhan.
Pihak berkuasa juga telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurut Pusat Operasi Kecemasan (COER), sebahagian bumbung pusat beli-belah itu masih kekal utuh tetapi berisiko runtuh.
Bahagian yang runtuh menimpa sebuah restoran, taman permainan kanak-kanak dan pawagam, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa angka korban mungkin meningkat lagi.
Bekas Datuk Bandar Trujillo, Arturo Fernandez, sebelum ini pernah memberi amaran mengenai risiko struktur bangunan tersebut, menyifatkannya sebagai "bom jangka."
Presiden Peru, Dina Boluarte menekankan keperluan siasatan menyeluruh dan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menegaskan bahawa peraturan keselamatan mesti dipatuhi bagi mengelakkan tragedi berulang.
Sementara itu, pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan memaklumkan bahawa bangunan tersebut telah melepasi pemeriksaan teknikal baru-baru ini.
Pengurus operasi Real Plaza, Garlet Rodriguez mengesahkan pemeriksaan terakhir dilakukan pada September 2023 tanpa sebarang isu struktur dilaporkan. -Reuters