fb fb fb fb fb

Dua ikan lumba-lumba air tawar, diselamatkan daripada sungai cetek Colombia

FOTO AFP

BOGOTA, 21 Februari- Dua ikan lumba-lumba sungai spesies merah jambu berjaya diselamatkan tentera laut Colombia akibat terperangkap di kawasan sungai yang cetek.

Mamalia terancam yang ditemui di sungai Colombia itu terdiri daripada ibu dan anak ikan lumba-lumba.

Beberapa pegawai laut membawa ikan tersebut keluar dan membungkusnya dengan kain buaian untuk melakukan pemeriksaan terhadap haiwan itu.

Pengasas Yayasan Omacha, Erika Gomez yang turut serta dalam situasi menyelamat itu menjelaskan haiwan terbabit dilepaskan semula ke kawasan yang lebih dalam selepas 17 minit diperiksa.

Usaha menyelamat itu melibatkan pasukan keselamatan, pihak berkuasa alam sekitar dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Anggota komuniti telah memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung ikan lumba-lumba yang ditemukan di Sungai Meta, timur Colombia, anak sungai Orinoco berhampiran sempadan Venezuela, minggu lalu," jelasnya kepada AFP.


(FOTO AFP)

Mamalia air tawar yang dikenali dengan nama saintifik, Inia geoffrensis hidup di dalam sistem sungai Amazon dan Orinoco.

Habitat mereka selalunya dikenal pasti di bahagian Brazil, Venezuela, Colombia, Ecuador, Peru dan Bolivia.

Ikan lumba-lumba sungai jenis merah jambu boleh mencapai berat sehingga 220 kilogram (485 paun) telah diklasifikasikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) sejak 2018.

Menurut Institut Penyelidikan Sumber Biologi Alexander von Humboldt, aktiviti memancing adalah pembunuh utama spesies itu di Colombia.

Pencemaran merkuri dan pemanasan global, yang telah mengubah aliran sungai turut menjadi faktor kepupusan hidupan air tawar itu.-AFP

Media Baharu