fb fb fb fb fb

Dua hospital terbesar di Gaza henti terima pesakit

FOTO REUTERS

GAZA, 13 November - Dua hospital terbesar di Gaza berhenti mengambil pesakit baharu berikutan serangan tentera Israel dan kekurangan ubat serta bahan api.

Peningkatan kematian dilaporkan dalam kalangan pesakit dan kakitangan perubatan.

Lapora daripada portal Al Jazeera menyebut, Al-Shifa dan Al-Quds, hospital terbesar dan kedua terbesar di Gaza, masing-masing berkata pada Ahad bahawa mereka telah menangguhkan operasi ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggesa gencatan senjata segera untuk mengelakkan peningkatan kematian.

Pakar bedah saraf Hospital Al-Shifa Dr Nidal Abu Hadrous berkata, pesakit dan kakitangan berdepan situasi "bencana" tanpa elektrik atau air dan tiada laluan keluar yang selamat.

“Ini tidak boleh bertahan lama. Campur tangan segera untuk menyelamatkan kakitangan dan pesakit diperlukan,” kata Abu Hadrous kepada Al Jazeera.

Hospital Kamal Adwan di utara Gaza turut menggantung operasi selepas penjana utamanya kehabisan bahan api, kata pengarah hospital Ahmed al-Kahlout kepada Al Jazeera.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata keadaan di Hospital Al-Shifa adalah "buruk dan berbahaya".

"Dunia tidak boleh berdiam diri manakala hospital, yang sepatutnya menjadi tempat selamat, berubah menjadi adegan kematian, kemusnahan, dan keputusasaan," kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam siaran di X, sambil menambah bahawa Al-Shifa "tidak berfungsi sebagai hospital lagi.”

Tiga jururawat terbunuh di Hospital Al-Shifa sejak Jumaat dalam kejadian pengeboman dan pertempuran Israel berhampiran kompleks itu, kata agensi bantuan PBB di wilayah Palestin.

12 pesakit termasuk dua bayi pramatang juga telah meninggal dunia sejak permulaan gangguan bekalan elektrik, manakala infrastruktur kritikal, termasuk kemudahan kardiovaskular dan wad bersalin, telah rosak teruk, menurut agensi PBB.

Kementerian kesihatan Gaza mengatakan bahawa tiga bayi baru lahir pramatang telah meninggal dunia. - AGENSI

TETITIA YUSOFF